GUA MUSANG – Empat lelaki termasuk dua daripada mereka merupakan warganegara Myanmar terpaksa memanjat sebatang pokok rambai untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka terjejas banjir akibat limpahan air Sungai Brooke, Pos Blau di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, dua warga emas masing-masing berusia 69 tahun dan dua pekerja lelaki warga asing yang bekerja di kebun sayur berkenaan terperangkap di atas pokok tersebut selama empat jam sebelum diselamatkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.31 pagi dan sampai di lokasi kejadian sejam kemudian.
Katanya, anggota bomba mengambil masa selama 45 minit untuk membantu menurunkan dan membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.
“Mereka berada di atas pokok itu hampir empat jam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian. Mangsa juga sempat menghubungi pihak majikan untuk memaklumkan kejadian tersebut semasa terperangkap di atas pokok itu.
“Selepas menerima menerima panggilan kecemasan, saya bersama tujuh anggota bergegas keluar ke lokasi kejadian dengan menggunakan tiga trak pikap dan sebuah bot,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nor Azizi memberitahu, dia bersama anggota bomba yang lain berjaya meredah arus sungai sebelum membawa turun mangsa dari atas pokok ke tempat selamat.
Menurutnya, banjir yang berlaku di kawasan terbabit turut memberi kesan kepada kebun sayur yang merupakan lokasi mangsa bekerja selain laluan di kawasan itu terputus dari kedua-dua arah. – KOSMO! ONLINE