fbpx

Tiga wartawan terperangkap di kampung Orang Asli ketika liputan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jambatan besi di RPS Kuala Betis, Gua Musang yang dinaiki air berikutan Sungai Betis melimpah hari ini. Foto oleh AIMUNI TUAN LAH/KOSMO!

GUA MUSANG – Hujan lebat menyebabkan tiga pengamal media terkandas ketika membuat liputan banjir di kawasan penempatan Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka ialah Aimuni Tuan Lah, 34, daripada Kosmo dan Utusan Malaysia, Paya Linda Yahya (Berita Harian dan Harian Metro), 37, bersama Maisarah Ahmad, 36, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak dapat keluar dari RPS Kuala Betis berikutan Sungai Betis melimpah.

Menurut Paya Linda, mereka tiba di RPS Kuala Betis pada pukul 9.54 pagi tadi untuk membuat tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

Katanya, semasa membuat liputan, air Sungai Betis melimpah sehingga menutupi jambatan besi yang merupakan satu-satunya laluan untuk ke SK Kuala Betis dan kampung Orang Asli.

“Kami membuat laporan berita dengan menemubual Orang Asli dan mengambil gambar di lokasi kejadian.

“Tidak sampai setengah jam kami di situ, air Sungai Betis di kawasan jambatan besi melimpah. Air naik dengan mendadak dan paras air di kawasan di situ agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Maisarah berkata, dua laluan itu terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan kerana paras air semakin tinggi sehingga mereka terpaksa berpatah balik ke kawasan selamat.

Katanya, mereka dijangka akan dibawa keluar menggunakan lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang pada pukul 4 petang ini selepas operasi pemindahan mangsa yang terjejas di kawasan sekitar dilakukan.

“Bagaimanapun, kenderaan kami terpaksa ditinggalkan di kampung Orang Asli buat sementara waktu sehingga air surut dan jalan selamat untuk dilalui.

“Kami sebenarnya nekad untuk keluar dari kawasan kampung itu. Menyedari tindakan itu agak berisiko kepada keselamatan nyawa selain harta benda seperti kereta dan kamera, kami terpaksa duduk di sini buat sementara waktu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI