fbpx

Tak perlu berbalah, ambil teladan kisah Ashabul Kahfi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU ini, ramai rakyat Malaysia menjadi ustaz dan ustazah segera apabila kisah Surah al-Kahfi menjadi isu utama antara dua pihak yang berbeza panda­ngan politik.

Tanpa pemahaman, tanpa pembacaan dan tanpa ilmu, berbondong-bondong rakyat dapat ‘dosa percuma’ tetapi ada juga yang kembali menelaah kisah sekumpulan pemuda yang ditidurkan selama 309 tahun di dalam sebuah gua.

Apa yang mustahak dikisahkan Allah dalam surah ini ialah golongan beriman yang pada awalnya dimomokkan dengan penindasan politik kuffar akhir­nya menjadi wira dalam mene­gakkan kalimah Allah SWT.

Kisah ini dicerita oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui Surah al-Kahfi. Di dalam surah itu, terdapat tiga kisah utama yang terkandung ba­nyak pengajaran untuk kita.

Kisah-kisah itu adalah kisah Ashabul Kahfi, kisah Nabi Musa AS bersama Nabi Khidir AS dan kisah raja terkenal Iskandar Zulkarnain. Manakala, nama surah ini diambil sempena kisah Ashabul Kahfi.

Kenapa kita perlu berbalah, sedangkan banyak pengajaran dan teladan yang terkandung dalam kisah ini. Kisah ini bukan sahaja menceritakan tentang soal akidah, tetapi juga mengisahkan tentang jati diri seorang muslim sejati.

Zaman Ashabul Kahfi adalah merupakan zaman pemerintahan raja yang zalim dan kebanyakan rakyat pada waktu itu kufur pada Allah SWT, sebaliknya pemuda yang terbabit kekal teguh dengan prinsip dan keyakinan mereka terhadap keesaan Allah.

Penceramah bebas, Ustaz Rizalman Ahmad berkata, dengan pelbagai ideologi songsang yang merebak ketika ini, ia merupakan anasir yang boleh menggugat ke­imanan serta aqidah Islam.

“Oleh itu, kita perlu contohi keutuhan aqidah Ashabul Kahfi, sekalipun diancam oleh raja zalim.

“Sekalipun orang di sekeliling kita kufur kepada Allah SWT, kita harus tetap teguh mempertahan aqidah, keislaman serta ke­taqwaan kita hanya kepada Allah SWT,” ujarnya.

Pengajaran kedua yang boleh diambil adalah dalam apa jua keadaan sekalipun, kita perlu sentiasa berdoa memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah SWT.

Doa Ashabul Kahfi antara doa yang kita boleh amalkan agar sentiasa diberi petunjuk dalam apa juga keputusan dan urusan yang kita lakukan.

Tambah Rizalman, dalam ayat 22 surah itu juga ada menceritakan agar jangan berdebat dengan sesuatu perkara yang tidak pasti, namun apa yang terjadi terhadap rakyat kita ketika ini bolehlah diibaratkan seperti ‘lebih sudu daripada kuah’.

“Allah mengajar kita agar tidak berdebat terhadap perkara yang kita tidak tahu. Melalui ayat ini juga, kita dapat ketahui bahawa jika kita ingin mengetahui sesuatu ilmu atau maklumat, pastikan kita berta­nya kepada orang yang ahli dan benar-benar tahu akan hal tersebut,” jelasnya.

Secara keseluruhan, surah al-Kahfi menyampaikan mesej kepada semua jenis golongan manusia termasuk rakyat, pe­mimpin serta pendakwah agar tidak terpedaya dengan pemikiran materialisme.

Pertarungan materialisme dan iman ini terus berlaku di sepanjang sejarah manusia, bahkan hampir serupa senarionya dalam setiap zaman, termasuklah ketika zaman khalifah.

Jangan menggadaikan akidah semata-mata kerana dikaburi dengan kebendaan yang dihasilkan dari sebab usaha dan strategi kita sendiri.

Hal ini kerana, yang memberikan kurnia dan kekuatan tersebut adalah Allah SWT.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI