MIAMI – Penyerang Uruguay, Luis Suarez kembali membentuk gandingan bersama legenda Argentina, Lionel Messi apabila dia mengambil keputusan berhijrah ke Liga Bola Sepak Major Amerika Syarikat (MLS) dengan menyertai Inter Miami.
Selain Messi, Suarez juga akan kembali bekerjasama dengan dua lagi bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Sergio Busquets dan Jordi Alba menjelang saingan musim baharu MLS yang bermula Februari nanti.
Suarez yang beraksi bersama Gremio dalam kancah Liga Brazil sebelum ini menganggap dia tidak memerlukan masa terlalu lama bagi menyesuaikan diri kerana sudah memahami corak permainan bekas rakan sepasukannya itu.
“Mereka bukan sahaja rakan-rakan saya tetapi mereka juga adalah pemain yang sangat dikenali di seluruh dunia. Selepas bersama mereka untuk tempoh yang lama, saya akui kami sudah faham dengan permainan masing-masing.
“Saya memiliki mentaliti sama seperti mereka iaitu untuk membantu pasukan. Kehadiran saya di sini adalah bagi menghadiahkan lebih banyak kejuaraan kepada semua penyokong Inter Miami,” katanya.
Penyerang berusia 36 tahun itu dianggap hadir dengan reputasi cukup gah apabila dinamakan sebagai Pemain dan Penyerang Terbaik dalam Liga Brazil sepanjang 2023 selepas meledak 27 gol dalam 53 perlawanan.
“Saya datang dari Liga Brazil yang sangat kompetitif dan mengharungi tahun yang cukup cemerlang. Ini membuktikan bahawa saya masih mampu bermain di peringkat tertinggi, jadi saya tidak sabar untuk memulakan kempen 2024,” ujar Suarez. – AGENSI