TEL AVIV – Kajian oleh firma kaji selidik, Direct Polls di Israel mengesahkan bahawa majoriti peneroka haram Yahudi menyokong pengusiran besar-besaran penduduk Palestin oleh tentera Rejim Zionis di Semenanjung Gaza, lapor portal berita Al Mayadeen semalam.
Kajian itu kemudian disiarkan oleh Wakil Tetap Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon di platform X.
Keputusan itu menunjukkan 68 peratus peneroka haram Yahudi sangat menggalakkan ‘perpindahan sukarela penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.’
Kaji selidik itu juga mendapati 15 peratus responden agak menggalakkan imigrasi sukarela penduduk Gaza, manakala 8 peratus lagi tidak begitu menyokong pergerakan tersebut.
Cuma sembilan peratus sahaja menentang usaha tersebut.
Pada Oktober lalu, Menteri keselamatan Israel, Yoav Gallant telah mengarahkan bekalan elektrik, air dan makanan diputuskan di Gaza selepas Hamas melaksanakan Operasi Taufan Al Aqsa dengan melakukan serangan ke atas Rejim Zionis.
Pada November lepas, Menteri Warisan Israel, Amihai Eliyahu berkata, senjata nuklear merupakan satu pilihan yang boleh digugurkan di Gaza. – AGENSI