Saudara Pengarang,
Laporan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan jumlah jangkitan pandemik Covid-19 di negara ini pada masa sekarang amat membimbangkan.
Apa yang lebih merisaukan adalah penularan Covid-19 mungkin akan bertambah tinggi ketika musim cuti sekolah apabila pergerakan merentas negeri berlaku besar-besaran kerana ramai yang ingin pulang ke kampung masing-masing.
Tidak kurang pula yang mahu bercuti di tempat-tempat pelancongan bersama keluarga sambil menikmati keindahan alam dan makanan yang lazat di hujung tahun.
Paling dikesali apabila individu yang ada gejala seperti batuk, demam dan selesema masih tanpa segan silu berada di tempat-tempat umum serta tidak memakai pelitup muka.
Mereka seharusnya melakukan kawalan kendiri dan bukannya tanpa perasaan bersalah mengunjungi lokasi-lokasi umum seperti restoran, pasar raya serta taman-taman permainan bersama-sama ahli keluarga.
Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga bergejala seperti batuk dan selesema, pantau dan laranglah individu itu daripada keluar rumah.
Jangan bersikap tidak bertanggungjawab terhadap orang lain. Jangan jadilah mereka mangsa jangkitan hanya disebabkan kita tidak cakna dengan peningkatan angka mereka yang dijangkiti Covid-19.
Kita jaga kita harus menjadi slogan bagi masyarakat negara ini. Cukuplah sekali rakyat terkurung di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan tiga tahun lalu.
Mat Nor
Seri Manjung