fbpx

Hujan diramal masih tahap bahaya di Kelantan, Terengganu hingga esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (bahaya, buruk dan waspada) yang melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, dan Perak hingga esok.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Helmi Abdullah dalam sebuah kenyataan hari ini berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 27 Disember.

“Keadaan ini berpotensi membawa hujan lebat berterusan di timur dan utara Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” katanya.

MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di negeri Kelantan di kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Amaran sama juga dikeluarkan di negeri Terengganu terutamanya di sekitar Besut, Setiu dan Hulu Terengganu) sehingga 26 Disember.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap waspada bagi negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pahang sehingga Selasa, 26 Disember.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI