PETALING JAYA – Pavilion Kuala Lumpur memohon maaf atas insiden pokok Krismas terjatuh lalu menghempap seorang pelanggan yang berlaku di pusat beli belah tersebut, tengah hari tadi.
Menurut sebuah kenyataan, hiasan pokok Krismas tersebut telah ditanggalkan untuk mengelakkan sebarang kejadian sama daripada berulang lagi pada masa hadapan.
“Sewaktu kejadian, pihak kami memberikan respons secepat mungkin. Pelanggan tersebut juga telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
“Disebabkan insiden tersebut, mangsa mengalami luka ringan. Kami masih lagi berhubung dengan keluarga mangsa untuk memastikan kesihatannya terus terjaga,” katanya.
Tambah Pavilion Kuala Lumpur, pihaknya juga telah menjalankan pemeriksaan teliti pada semua hiasan Krismas sedia ada.
“Kami berharap semua pengunjung tidak akan risau. Kami memastikan keselamatan semua tetap terjaga di musim perayaan ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Singapura dihempap hiasan pokok Krismas sewaktu bergambar bersama isteri dan anaknya di pusat beli-belah tersebut. – KOSMO! ONLINE