DUNGUN – Gugusan Felda Rasau Kerteh di sini turut menerima tempias bah gelombang ketiga apabila dilanda banjir kilat semalam.
Banjir kilat pada pukul 4 petang itu melibatkan Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya di sini.
Bencana alam tersebut mengejutkan hampir 500 penduduk kerana ia pertama kali berlaku sejak tanah rancangan itu dibuka hampir 40 tahun lalu.
Seorang penduduk, Jamal Shukri Razali, 44, berkata, kebanyakan kawasan rendah di gugusan felda itu termasuk penempatan penduduk ditenggelami air dalam tempoh kurang 15 minit.
“Pejabat Felda dan tadika juga dimasuki banjir. Banyak juga kenderaan penduduk tenggelam. Ia mengejutkan kerana gugusan Felda ini tidak pernah dilanda banjir sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Jamal Shukri mengesyaki banjir kilat berkenaan berpunca daripada fenomena kepala air di Sungai Hulu Paka berhampiran.
Seorang penduduk lain, Zaleha Hamid, 55, berkata, dia yang sedang menyiapkan kuih untuk minum petang terkejut dapur rumahnya tiba-tiba dinaiki air.
“Saya dah ahli keluarga lain panik kerana tidak pernah banjir sebelum ini. Masa itu hendak pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pun tidak tahu di mana, tidak pernah beroperasi sebelum ini,” katanya.
Setakat ini, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Felda Kerteh 4 yang kini menempatkan 235 orang daripada 51 keluarga. – KOSMO! ONLINE