JEMPOL – Sebuah keluarga mendakwa kerugian RM13,000 akibat ditipu dengan pakej kenduri kahwin yang ditawarkan oleh sebuah pengusaha katering di sini.
Abang kepada pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, berkata, ini adalah kali pertama dia sekeluarga tertipu dengan pakej katering dan pakej pengantin sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.
Katanya, disebabkan itu, mereka sekeluarga terpaksa memasak sendiri hidangan, selain mencari set kerusi meja untuk diletakkan di dalam dewan yang sudah ditempah.
“Hari ini merupakan majlis perkahwinan adik saya tetapi sebarang persediaan masih belum dibuat. Individu yang membuat perjanjian dengan pengantin juga sudah melarikan diri, dan tidak dapat dihubungi.
“Katerer yang ditempah oleh adik untuk kenduri. Banyak kali kami call (telefon) tapi tiada sebarang respons. Pening kami nak fikir.
“Jadi kami decide (putuskan) adik beradik (sembilan beradik) untuk masak sendiri. Hanya kemampuan kami untuk siapkan dalam anggaran 400 hidangan. Itupun sekadar lauk ayam gulai, sambal belacan, buah dan ulam-ulaman,” katanya.
Sehubungan itu, kata Burhanuddin, adiknya Raudhah Sakinah, 26, telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol malam sebelum majlis perkahwinan bagi tindakan lanjut.
Ujarnya, adiknya terpaksa menggunakan khidmat pihak lain untuk menyediakan pelamin dengan bayaran RM3,000, manakala kos untuk menyediakan lauk-pauk pula sebanyak RM3,000 untuk 400 hidangan sahaja, sedangkan perancangan asal adalah 1,000 hidangan.
Terdahulu tular perkongsian keluarga berkenaan apabila majlis kahwin adik perempuan mereka tidak berlangsung seperti apa yang dirancang iaitu dengan kehadiran pihak katerer.
Bagaimanapun, majlis berjalan dengan lancar apabila kesemuanya sepakat membuat persiapan bagi memastikan tetamu hadir disajikan juadah serta mempunyai tempat duduk dan makan. – KOSMO! ONLINE