fbpx

Banjir: Orang Rantau Panjang buat pembelian panik stok makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk di Rantau Panjang membeli stok makanan di sebuah pasar raya di Kampung Banggol Kulim hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/KOSMO!

RANTAU PANJANG – Penduduk di sekitar pekan Rantau Panjang mula menyerbu beberapa buah pasar raya di sini untuk membeli barangan dapur dan stok makanan selepas kawasan tersebut terjejas banjir hari ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai berpusu-pusu ke sebuah pasar raya di Kampung Banggol Kulim di sini bermula pukul 9 pagi tadi untuk mencari beras, telur, lilin dan barang keperluan lain.

Selain itu, beberapa kedai runcit di sekitar Rantau Panjang juga diserbu orang ramai yang mula keluar untuk membeli barang keperluan.

Seorang penduduk, Halim Ismail, 52, berkata, dia sudah berulang alik ke pasar raya itu dengan menunggang motosikal untuk membeli lampin, telur, gula dan beberapa lagi keperluan lain.

Menurutnya, beberapa kawasan di sekitar pekan Rantau Panjang mula dinaiki air pagi tadi sehingga menyebabkan penduduk terpaksa membuat pembelian panik berikutan bimbang barangan dapur habis.

“Saya keluar membeli barangan dapur ketika air bah masih cetek. Jika banyak laluan terputus selepas ini, pasti sukar untuk kami keluar membeli barangan makanan.

“Keluarga saya masih belum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kediaman kami terletak di kawasan tinggi. Jadi, kami perlu menyediakan bekalan makanan selama seminggu berikutan bimbang terkepung banjir selepas ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mazlan Sukri, 50, berkata, dia keluar membeli barangan dapur kerana khuatir kedai di pekan Rantau Panjang tutup dalam tempoh terdekat.

“Saya beli banyak stok susu, telur dan gula. Saya berniaga di sebuah kedai makan dan memerlukan banyak barangan untuk terus berniaga ketika ini.

“Meskipun kebanyakan kawasan di Rantau Panjang dilanda banjir, saya tetap membuka premis kerana keadaan bah masih terkawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI