fbpx

[VIDEO] Banjir: Mangsa di Kelantan meningkat 5,269 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jalan persekutuan di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh yang dinaiki air susulan hujan lebat sepanjang hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,269 orang berbanding 2,094 orang pada waktu tengah hari tadi susulan hujan lebat melanda di semua kawasan sepanjang hari ini.

Sekreteriat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan dalam satu kenyataan berkata, setakat pukul 4 petang tadi, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 3,175 orang dalam tempoh empat jam.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat ditempatkan di 39 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam buah daerah iaitu Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

“Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi dengan seramai 3,287 orang diikuti Tanah Merah (1,189), Jeli (255), Gua Musang (239), Kuala Krai (192) dan Machang (107).

“Setakat ini, daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh masih belum terjejas banjir meskipun hujan melanda kawasan-kawasan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tiga sungai iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Kuala Besar selain Sungai Golok di Rantau Panjang melepas paras bahaya.

Katanya, Sungai Kelantan di Sungai Lanas, Sungai Golok (Empangan Bukit Kwong) dan Sungai Semerak (Jambatan Melor dan Pasir Puteh) mencatatkan bacaan amaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI