fbpx

Banjir: Jambatan runtuh, 200 penduduk Kampung Temalir terputus hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jambatan di Kampung Temalir, Kuala Krai yang runtuh pagi tadi. - Foto ihsan penduduk

KUALA KRAI – Kira-kira 200 penduduk di Kampung Temalir di sini terputus hubungan selepas jambatan yang menjadi penghubung antara Kampung Temalir Lama ke Temalir Baru runtuh pagi tadi.

Seorang penduduk, Rizuan Tuan Nor, 32 berkata, dia menyedari jambatan itu runtuh kira-kira pukul 10.30 pagi selepas hujan lebat berterusan melanda kampung tersebut sejak semalam.

Menurutnya, jambatan sepanjang 300 meter itu sebelum ini dibaiki secara gotong-royong pada Oktober lalu dan ia dilalui oleh penduduk Kampung Temalir Lama dengan menaiki atau motosikal.

“Selepas jambatan itu runtuh, penduduk sudah terputus hubungan sehingga menyukarkan kami untuk keluar membeli barangan keperluan.

“Bekalan elektrik juga sudah terputus di kampung kerana paras air semakin meningkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Penduduk melihat jambatan Kampung Temalir, Kuala Krai yang runtuh pagi tadi. – Foto ihsan penduduk

Rizuan memberitahu, penduduk takut untuk menggunakan bot untuk keluar kerana arus banjir sangat deras.

Katanya, sebelum ini, penduduk kampung bergotong-royong menggunakan batang kelapa untuk membaiki jambatan itu, namun ia runtuh hari ini.

“Jambatan itu pernah runtuh empat tahun lalu. Saya difahamkan ada laluan alternatif selain melalui jambatan ini, ia juga terjejas akibat banjir.

“Saya bimbang stok makanan yang ada ketika ini tidak mencukupi. Keadaan ketika ini menyukarkan kami untuk keluar mencari kelengkapan dapur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI