SEKITAR 10 tahun lalu, kisah mengenai seorang gadis bernama Bojana Danilovic pernah mendapat perhatian media.
Cerita mengenai gadis berusia 28 tahun berasal dari Serbia itu begitu unik apabila digelar sebagai manusia yang hidup dalam dunia terbalik.
Ketika kelahiran, dia dilahirkan secara songsang iaitu bahagian kaki Bojana yang keluar dahulu daripada perut ibunya.
Kemudian, kelainan Bojana kelihatan apabila dia mula belajar dan pandai merangkak.
Kebiasaannya, seorang bayi yang normal merangkak ke hadapan. Tetapi, tidak bagi Bojana yang merangkak secara mengundur ke belakang.
Begitu juga ketika dia mula-mula hendak belajar bertatih, langkah pertamanya bukan ke hadapan tetapi ke belakang, iaitu berjalan secara mengundur.
Hal ini menyebabkan ibu bapanya selalu mengambil cuti semata-mata mahu mengajar anaknya berjalan.
Seorang pakar kesihatan kanak-kanak dan penyelidik kesihatan daripada Universiti Harvard yang pernah merawat Bojana iaitu Patrick Smith berkata, apa yang terjadi dan dilalui wanita itu merupakan satu-satunya dan pertama di dunia.
“Kegembiraan kedua-dua ibu bapanya tidak terucap apabila Bojana akhirnya mampu berjalan dengan normal seperti kanak-kanak lain.
“Namun, itu hanya dari segi berjalan saja. Dari sudut lain, Bojana masih lagi berada dalam dunianya yang serba-serbi terbalik,” katanya.
Tambahnya, dalam kes unik tersebut, beberapa lagi masalah aneh berlaku kepada Bojana dan ia berlanjutan ketika dia mula belajar menulis.
“Dia akan memutar sekeping kertas kosong beberapa kali sehingga kertas tersebut berada dalam keadaan terbalik.
“Kemudian, dia akan memegang pensel secara terbalik dan mula menulis dari sudut kanan di sebelah bawah dan berakhir di sudut kiri sebelah atas.
“Guru dan teman sekelasnya sudah mencuba sedaya upaya untuk membantu memperbaiki cara menulisnya, tetapi usaha itu hanya sia-sia.
“Ini kerana, Bojana masih lagi terus dengan tabiatnya yang menulis secara terbalik.
“Begitu juga ketika membaca, Bojana akan memegang buku secara terbalik.
“Dia akan mula membaca dari sudut bawah di sebelah kanan dan berakhir di bahagian atas sebelah kiri.
“Disebabkan kelakuan yang aneh, dia sering ditegur oleh orang ramai yang tidak tahu tentang masalah dihadapinya,” ujar Smith lagi.
Menurut perkongsian, ketika usianya meningkat dewasa, Bojana telah ditawarkan bekerja di Majlis Perbandaran Uzice di sebelah barat Serbia.
Pada hari pertama memulakan tugasnya, dia berasa agak janggal.
Hal ini kerana, pada pandangannya, semua dokumen dan komputer di pejabat tersebut berada dalam keadaan terbalik.
Justeru, dia terpaksa memusingkan papan kekunci dan monitor komputernya sehingga berada dalam kedudukan betul.
“Itu hanya dari sudut pandangannya sahaja, tetapi dari sudut pandangan rakan-rakan sepejabatnya pula, semuanya berada dalam keadaan normal.
“Permasalahan yang dialami oleh Bojana telah mendapat perhatian daripada majikannya.
“Lantaran itu, bagi memudahkan urusan kerjanya, pihak syarikat telah menyediakan dokumen-dokumen yang dicetak khas dalam bentuk terbalik untuknya.
“Bukan itu saja, satu perisian komputer turut dicipta khas untuk memudahkan kerja-kerjanya.
“Dengan perisian tersebut, Bojana tidak perlu lagi menterbalikkan monitor dan papan kekuncinya, sekali gus dapat melaksanakan tugas dengan baik serta sempurna, tanpa sebarang masalah,” katanya.
Tambah Smith, begitu juga apa yang berlaku di rumah apabila keluarganya terpaksa membelikan sebuah televisyen khas.
Ujarnya, jika Bojana hendak menonton siaran kegemarannya, dia terpaksa menterbalikkan televisyen tersebut.
Hal itu menyebabkan ahli keluarga lain tidak dapat menonton rancangan tersebut dengan tenang.
“Setelah didiagnos, kami mendapati gadis bertuah tersebut menghidap sejenis penyakit yang jarang berlaku dipanggil ‘spatial orientation phenomenon’.
“Ia berlaku apabila dia menganggap pandangannya itu sudah betul, sedangkan imej yang sebenarnya telah diterbalikkan oleh otaknya.
“Walaupun ramai yang melihatnya sebagai seorang yang unik dan luar biasa, namun bagi Bojana ia adalah normal.
“Baginya, apa yang berbeza hanyalah cara dia melihat dunia. Bahkan, sehingga ke saat ini, dia selesa melihat dunia dengan cara ‘terbalik’,” tambah pakar itu lagi.