fbpx

Tahun paling sempurna Manchester City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CITY melengkapkan musim sempurna kali ini apabila meraih trofi kelima dengan memenangi aksi final Piala Kelab Dunia awal pagi semalam. - FB MANCHESTER CITY

JEDDAH – Gergasi bola sepak England, Manchester City melengkapkan tahun cemerlang mereka apabila menjulang trofi Piala Kelab Dunia selepas menundukkan Fluminense 4-0 pada aksi final di Stadium Antarabangsa Raja Abdullah awal pagi semalam.

Skuad kendalian Pep Guardiola yang turun tanpa kelibat bintang sensasi, Erling Haaland itu berjaya membawa pulang trofi kelima mereka selepas memenangi Piala FA, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala Super Eropah sebelum ini.

Ketua pasukan itu, Kyle Walker mengakui kejayaan itu adalah pelengkap yang cukup sempurna buat City dan menjadi hadiah yang cukup istimewa buat seluruh pasukan.

“Saya sangat bangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan saya rasa sangat bertuah kerana diberikan peluang bermain dengan pemain-pemain hebat dalam pasukan ini.

“Tidak mudah untuk kami meraih kemenangan secara konsisten, jadi untuk berada di sini dan meraikan trofi kelima untuk pasukan ini adalah suatu yang istimewa dan pencapaian luar biasa,” katanya.

Pada aksi tersebut, City tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila Julian Alvarez membuka tirai jaringan ketika perlawanan baru berlangsung 40 saat selepas menyambut bola rembatan Nathan Ake yang terkena palang sebelum menyudahkan peluang tersebut.

Kira-kira 27 minit kemudian, City bertambah selesa apabila melebarkan jurang jaringan selepas pemain pertahanan kelab dari Brazil itu, Nino tertampan bola ke gawang sendiri untuk mereka menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.

Babak kedua menyaksikan City terus menggandakan asakan untuk mendapatkan lebih jaringan dan hasilnya Phil Foden mencetak nama selaku penjaring gol ketiga pada minit ke-72 sebelum Alvarez melengkapkan malam gemilang The Citizens menerusi gol keempat dua minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir.

“Kami bukan sahaja menunjukkan kualiti, tetapi keinginan yang kuat. Saya sangat gembira dengan apa yang telah dikecapi. Kejayaan ini penting untuk diri saya dan kelab ini,” jelas Foden. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI