fbpx

Penduduk tak kemas rumah, bimbang banjir luar biasa kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAFIDAH mengemas rumah secara ala kadar dan hanya mengeluarkan sedikit peralatan di PPSK Felcra Gunung Menerong, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU – Amaran risiko banjir gelombang ketiga di Terengganu selama lima hari bermula kelmarin merisaukan penduduk Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, di sini yang baru sahaja pulih daripada bencana itu beberapa hari lalu.

Rata-rata penduduk memilih untuk tidak mengemas rumah lagi kerana bimbang bakal dilanda bah semula berikutan hujan lebat yang mulai turun sejak semalam.

Salah seorang penduduk, Norafidah Mohd., 33, berkata, trauma banjir mengejut pada minggu lalu masih dirasainya.

“Walaupun telah dibaiki beberapa hari lalu, kami tetap risau sistem amaran banjir masih tidak berfungsi seperti yang telah berlaku pada 14 Disember lalu.

“Waktu itu, kami kelam-kabut setelah rumah tiba-tiba dinaiki air tanpa sebarang amaran pada pukul 5 pagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya di PPSK Felcra Gunung Menerong, di sini semalam.

Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan, Terengganu bersiap sedia menghadapi banjir gelombang ketiga berikutan pertembungan ribut Jelawat dan angin tropika antara tempoh 22 Disember hingga 26 Disember ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran hujan sangat lebat melanda seluruh Terengganu dalam tempoh tiga hari sehingga hari ini.

Norafidah berkata, amaran hujan sangat lebat itu tambah merisaukan mereka tentang kemungkinan banjir luar biasa melanda daerah ini pada hujung Februari tahun lalu bakal berulang.

Katanya, dia masih teringat dalam bencana itu mereka terpaksa mendaki bukit berhampiran untuk berlindung selepas kawasan perumahan ditenggelami banjir luar biasa.

Seorang lagi penduduk, Norizan Mohd., 31, pula berkata, dia masih tidak menyusun peralatan dan perabot rumahnya yang telah disimpan di tempat tinggi sebelum ini.

“Saya hanya mengeluarkan sebahagian barangan penting sahaja kerana bimbang banjir akan berlaku semula.

“Kali ini kalaulah ditakdirkan banjir kembali, saya berharap biarlah sistem amaran awal banjir dapat berfungsi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI