PETALING JAYA – Seorang pelajar universiti tempatan tampil memberi penjelasan tentang kereta mewah dan barangan berjenama yang dipaparkan dalam satu video dimuat naik olehnya hanyalah sekadar kolaborasi jenama.
Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh pelajar tersebut dikenali sebagai Nadzirah Ridzuan, dia mempertontonkan gaya hidup mewah sehingga mengundang kecaman hebat netizen.
Kebanyakan pengguna media sosial mempersoalkan bagaimana pelajar tersebut boleh masuk ke universiti tempatan yang dikhaskan buat golongan kurang berkemampuan sedangkan memiliki gaya hidup mewah.
Susulan itu, pelajar tersebut dalam satu video siaran langsung di akaunnya tampil menjelaskan bahawa gaya hidup yang dimuat naik itu hanyalah sekadar kolaborasi bersama jenama-jenama mewah tersebut.
“Berapa kali saya nak cakap. Saya buat kolaborasi, saya buat bisnes, semua yang saya buat adalah benda yang saya nak promosi. Apa yang saya kongsi, dia akan sampaikan kepada ‘target audience’.
“Apa yang saya makan, tempat hotel mana yang saya pergi, barang berjenama apa yang saya beli, semua itu saya jual. Ya, saya memang pelajar sepenuh masa universiti tersebut.
“Kereta mewah itu kolaborasi untuk promosi syarikat tersebut. Kemudian makanan pun saya ditaja, cumanya saya satukan semuanya menjadi video gaya hidup,” jelasnya.
Sebelum ini video tersebut tular di platform X sehingga mendapat kecaman orang ramai yang menganggap seharusnya pelajar berkemampuan tidak perlu memasuki universiti tempatan tersebut.
“Saya dulu pelajar universiti ni sangat susah nak hidup. Sampai tong tong minyak dengan dua abang. Bangun lambat sebab sehari nak makan sekali je,” komen seorang wanita.
“Ini mesti sekadar konten video je. Nampak no plat kereta itu pun dah tahu kereta sewa,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE