PETALING JAYA – “Sambal kicap tak ada belacan kak (kakak) oi, kebanyakan saya tengok resepi sambal tak ada belacan, kak seorang sahaja letak belacan.”
Demikian jawapan balas seorang pengguna Instagram terhadap komen yang ditinggalkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke atas video resepi pengguna lain.
Wanita itu dilihat seolah-olah tidak setuju dengan cadangan Raja Permaisuri tentang untuk menambah belacan dalam masakan sambal kicap.
“Nak sedap lagi, masukkan belacan sikit dan goreng sekali,” cadang baginda Tuanku.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen tersebut, rata-rata netizen mengecam tindakan wanita berkenaan yang dianggap biadab.
“Hai kak oi, awak tahu dengan siapa awak bercakap tak? awak rakyat negara mana? biadap sangat bahasa awak,” tegur Annuar.
“Duduk dalam gua mungkin dia ni, tak kenal siapa pemimpin negara, siapa Agong kita, siapa Raja Petrmasuri negara kita. Awak patut kena banyak membaca, bukan tahu komen sahaja,” kata Ayuni Dahlia.
Selain itu, ada pengguna yang menyelar tindakan wanita tersebut dan beranggapan bahawa setiap orang mempunyai resepi tersendiri.
“Semua orang ada cara nak bagi makanan tu sedap, tak perlu awak nak perli atau pertikai cadangan orang. Suka, ikut…tak suka abaikan, mudah sahaja,” pesan Adiraa.
“Aku buh (letak) je belacan lagi enak,” ujar Syamsiah Yaacob.
Bagaimanapun, dalam komen balas terbaharu wanita terbabit, dia tampil membuat permohonan maaf kepada Tuanku Permaisuri berhubung tindakannya sebelum ini.
“Tuanku, patik menyusun 10 jari mohon ampun Tuanku di atas keterlanjuran kata patik terhadap Tuanku,” rayu wanita tersebut. – KOSMO! ONLINE