PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali yang layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) menerusi lagu Selagi Ku Ada duet bersama Khai Bahar enggan mengulangi insiden ‘terkucil’ sewaktu menyanyikan lagu Peluang Kedua pada edisi AJL35.
Menurut Nabila, 31, kejadian memalukan itu telah meninggalkan rasa trauma pada dirinya, namun dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik pada AJL38 nanti supaya kejadian sama tidak berulang.
“Bohonglah kalau saya kata tidak ada rasa trauma. Perasaan itu ada. Cuma saya ketepikan perasaan itu dan ingin memberi fokus untuk persembahan pada AJL38 nanti.
“Apa yang telah berlaku, biarkan berlalu. Sekarang ini adalah masa untuk saya fokus dengan lagu Selagi Ku Ada,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, penyanyi yang mesra disapa Bella itu berasa sedikit lega, apabila AJL kali ini dia tidak bersendirian, sebaliknya akan ditemani rakan duetnya iaitu Khai Bahar.
Ujarnya, keberadaan Khai Bahar sedikit sebanyak boleh menaikkan semangatnya untuk menyanyi, sekali gus menjadi pendukung untuknya melakukan persembahan terbaik.
“Alhamdulillah, dengan adanya Khai, itu menjadi satu kelebihan dan memberi keyakinan kepada saya untuk tampil dengan persembahan terbaik.
“Berbanding ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua di AJL35 lalu, saya sendirian di atas pentas. Tapi kali ini saya berduet,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nabila turut menyifatkan lagu Selagi Ku Ada yang dicipta oleh penyanyi dan komposer, Amylea Azizan sebagai sebuah karya hebat yang cukup bermakna.
Malah, Nabila turut bersyukur apabila masih ada lagi pencipta lagu atau komposer yang masih mempercayai bakat nyanyiannya, dengan memberikan sebuah lagu yang hebat dia dinyanyikan.
“Selagi Ku Ada merupakan sebuah karya yang cukup hebat dan Istimewa. Saya sangat berterima kasih kepada Amylea kerana sudi mengambil saya untuk dipasangkan dengan Khai bagi menyanyikan lagu ini.
“Saya sangat bersyukur apabila masih ada komposer yang mempercayai bakat saya,” ujarnya.
Terdahulu, ketika edisi AJL35, Nabila yang layak ke pentas berprestij tersebut menerusi lagu Peluang Kedua, hasil ciptaan Hael Husaini dan MFMF dikritik hebat netizen apabila gagal menyanyikan lagu tersebut dengan baik, terutama pada bahagian korus.
Insiden tersebut telah membuatkan pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd Razali itu sohor kini dalam aplikasi X.
Ketika peringkat separuh akhir, lagu tersebut itu dinyanyikan sendiri oleh penciptanya iaitu Hael Husaini ekoran Nabila ketika itu terpaksa direhatkan kerana mengalami masalah peti suara. – KOSMO! ONLINE