PETALING JAYA – Kuala Lumpur menduduki tangga keenam sebagai bandar raya paling ramai dikunjungi pelancong sepanjang tahun ini sekali gus menewaskan bandar New York dan Seoul.
Fakta tersebut dikongsikan laman sesawang Travelness berdasarkan Indeks Bandar Destinasi Global hasil kajian oleh Mastercard.
Laporan itu menyenaraikan bandar dan destinasi pelancongan paling popular di dunia berdasarkan jumlah ketibaan pelawat semalaman antarabangsa dan perbelanjaan rentas sempadan.
Menerusi laporan tersebut, sebanyak 13.79 juta pengunjung dari seluruh dunia yang datang melawat Kuala Lumpur sepanjang tahun ini.
Bandar raya New York pula menduduki tangga ketujuh dengan jumlah 13.6 juta pengunjung diikuti Istanbul (13.40 juta) dan Tokyo (12.93 juta).
Bagaimanapun, Kuala Lumpur tewas satu anak tangga di belakang Singapura dengan jumlah pengunjung seramai 14.67 juta.
Seoul, Korea Selatan pula menduduki tangga ke-11 dengan jumlah 11.25 juta pelancong, manakala Osaka (10.14 juta pengunjung) dan Mekkah (10 juta).
Di tangga pertama, Bangkok dengan jumlah 22.78 juta pengunjung kelihatan selesa di kedudukannya diikuti dengan Paris (19.10 juta pengunjung) dan London (19.09 juta pengunjung). – KOSMO! ONLINE