fbpx

Konflik Palestin-Israel: Majlis Keselamatan gagal henti perang di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
. MAJLIS Keselamatan PBB gagal menuntut gencatan senjata kemanusiaan diadakan di Gaza. - Foto AFP

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenai perang Gaza tanpa meminta supaya gencatan senjata dilaksanakan, lapor Wion News semalam.

Resolusi PBB sebaliknya me­nuntut semua pihak terlibat dalam perang Israel – Hamas itu untuk memberikan akses kepada semua laluan ke seluruh Semenanjung Gaza, termasuk semua lintasan sempadan bagi memudahkan agihan bantuan kemanusiaan.

Ia juga meminta pelantikan penyelaras kemanusiaan PBB bagi menyelia dan mengenal pasti bantuan kepada Gaza yang datang dari negara ketiga.

Agensi berita AFP melaporkan, teks awal resolusi itu me­nyatakan bahawa mekanisme bantuan kemanusiaan perlu dipercepatkan, manakala fungsi penyaluran bantuan perlu secara eksklusif berada di bawah kawalan PBB.

Resolusi itu juga menyatakan, penghantaran bantuan akan diuruskan melalui rundingan dengan semua pihak berkepen­tingan.

Ia disebabkan kemungkinan Israel akan memantau operasi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, masyarakat dunia mengkritik Majlis Keselamatan PBB kerana tidak melakukan usa­ha mencukupi untuk memperbaiki situasi di Gaza yang dilanda peperangan.

Israel yang disokong Amerika Syarikat (AS) terus menentang pelaksanaan gencatan senjata di Gaza, manakala Washington te­lah menggunakan kuasa vetonya sebanyak dua kali untuk membatalkan resolusi menyentuh perkara itu.

AS dan Russia merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan jika Washington atau Moscow menggunakan kuasa veto masing-masing, sebarang resolusi badan dunia itu tidak dapat diluluskan.

Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield mengalu-alukan resolusi terbaharu yang diluluskan Majlis Keselamatan dengan berkata, ia adalah langkah ke hadapan yang konkrit.

“Majlis Keselamatan memberikan sinar harapan di lautan penderitaan,” katanya.

Perbalahan diplomatik melibatkan anggota-anggota Majlis Keselamatan menyebabkan undian resolusi mengenai perang di Gaza tertangguh beberapa kali.

Dalam pada itu, Russia menyifatkan teks resolusi itu sebagai ‘tidak mempunyai gigi’ selain mengecam AS mengenai isu Gaza.

Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menaja resolusi tersebut dengan beberapa pindaan dibuat untuk mencari kompromi dalam kalangan anggota Majlis Keselamatan.

“Kami tahu ini bukan teks yang sempurna. Kami tidak akan jemu menyeru gencatan senjata kemanusiaan,” kata duta UAE, Zaki Nusseibeh.

Perang antara Rejim Zionis dengan Hamas bermula sejak 7 Oktober lalu selepas pejuang Pa­lestin melancarkan ribuan roket dan menyusup masuk ke selatan Israel dan membunuh lebih 1,100 orang.

Lebih 20,000 penduduk Gaza terkorban dan sekurang-kurangnya 50,000 yang lain cedera dalam serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI