fbpx

Haram umat Islam sertai Christmas Carolling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penjelasan mengenai penyertaan umat Islam dalam Christmas Carolling oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

PETALING JAYA – Hukum menyertai Christmas Carolling bagi umat Islam adalah haram kerana lirik lagunya yang mengandungi unsur-unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, pada dasarnya Islam tidak mengharamkan hiburan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain.

“Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menjauhi upacara keagamaan agama lain sama ada dalam bentuk nyanyian atau lainnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penjelasan itu dibuat bagi menjawab persoalan seorang pengirim yang meminta pencerahan berhubung persembahan Christmas Carolling sempena sambutan Krismas bagi meraikan penghuni wad dan pengunjung sebuah hospital.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menjelaskan, Christmas Carolling bermaksud lagu yang bertemakan Krismas, kebiasaannya dinyanyikan pada Hari Natal.

“Istilah noel kadang kala digunakan terutamanya bagi lagu-lagu karol yang berasal dari Perancis.

“Lagu-lagu ini mula diketahui pada abad keempat, namun lagu Krismas dalam bahasa Inggeris muncul pada 1426 dalam penulisan John Awdlay yang menulis 25 lagu ‘caroles of Cristemas’.

“Hari ini lagu-lagu Christmas Carolling masih lagi mengandungi unsur keagamaan kristian seperti lagu bertajuk ‘A Bone God Wot’,” ujarnya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, secara asasnya, hukum nyanyian adalah diharuskan selagi mana ia tidak berunsur pemujaan dan galakan minum arak, pergaulan bebas, lirik yang menyanggahi syariat dan akidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada tanggungjawab dan kewajipan agama.

Dalam masa sama, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.

“Muzakarah memutuskan bahawa, dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI