JAKARTA – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, manakala 39 yang lain cedera di timur Indonesia selepas satu letupan berlaku di sebuah loji pemprosesan nikel yang dibiayai China.
Insiden itu berlaku di kilang PT Indonesia Tsingshan Stainless Steel di Taman Industri Morowali, wilayah Sulawesi Tengah, sekitar pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.
“Bilangan mangsa setakat ini adalah 51 orang dengan 12 daripadanya meninggal dunia. Seramai 39 mangsa yang mengalami cedera ringan dan serius sedang mendapatkan rawatan,” kata jurucakap kemudahan tersebut, Dedy Kurniawan.
Tambahnya, tujuh rakyat Indonesia dan lima pekerja asing dari China adalah mangsa yang terbunuh.
Siasatan awal mendapati bahawa letupan berlaku semasa kerja pembaikan pada relau apabila cecair mudah terbakar menyala.
“Letupan seterusnya menyebabkan tangki oksigen berhampiran turut meletup,” kata Dedy.
Api berjaya dipadamkan pagi ini. – AFP