SEBERANG PERAI – “Tolong call (hubungi) ayah saya”.
Demikian permintaan terakhir Munirah Mohamad, 24, sebelum maut dalam kemalangan setelah motosikal ditunggang merempuh belakang lori rosak di Kilometer 118.5, Lebuh Raya Utara-Selatan, menghala ke Sungai Petani, malam tadi.
Difahamkan, mangsa sempat berkata sedemikian kepada seorang pengguna jalan raya yang berada di lokasi tersebut sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 9.40 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati nahas melibatkan lori dan sebuah motosikal.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit yang datang dari arah Juru mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong kecemasan.
“Selepas 15 minit berhenti, motosikal yang ditunggang wanita (mangsa) melanggar belakang kenderaan berat terbabit.
“Penunggang motosikal yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di lokasi. Bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas,” katanya di sini.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Jusoh, 65, berkata, jenazah anak ketujuh daripada lapan beradik itu dalam perjalanan pulang ke Pondok Zawiyah di Jeneri, Sik, Kedah selepas urusan bedah siasat selesai tengah hari tadi.
Jenazah Munirah yang merupakan pekerja kilang di Seberang Perai dijangka dikebumikan selepas solat Asar, petang ini. -KOSMO! ONLINE.