GEORGE TOWN – Tindakan segelintir pihak mengaitkan fenomena ribut solar yang dijangka berlaku tahun depan dengan keadaan bumi bergelap untuk tempoh-tempoh tertentu sebagai tanda kiamat adalah tidak wajar kerana boleh mencetuskan suasana panik dan kegusaran awam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, umat Islam seharusnya merujuk dari sumber yang berautoriti dan tidak menyebarkan perkara yang tidak pasti.
“Keimanan kita terhadap hari kiamat yang pasti akan terjadi adalah berdasarkan panduan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Marilah kita menginsafi dan menghayati kekuasaan Allah serta kebesaran-Nya di sebalik fenomena ini,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, dalam Islam, perkara-perkara yang akan berlaku di masa hadapan tidak diketahui oleh sesiapa melainkan Allah SWT.
“Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri mengetahui mengenai perkara-perkara ghaib dan masa akan datang berdasarkan wahyu yang disampaikan kepada baginda.
”Berdasarkan pedoman al-Quran dan al-Hadith, kejadian bumi bergelap atau matahari tidak kelihatan hanya berlaku dalam tiga keadaan iaitu ketika malam hari, gerhana matahari, dan menjelang terbit matahari dari barat sebagai antara tanda besar hari kiamat.
”Dalam riwayat hadith dinyatakan bahawa matahari tidak kelihatan selama dua hingga tiga hari sebelum ia muncul semula dari barat. Nabi SAW juga mengingatkan bahawa dengan terbit matahari dari barat bermaksud pintu taubat untuk sekelian manusia telah ditutup,” katanya.
Tambahnya, fenomena ribut solar yang dijangka melanda bumi bermula awal tahun depan merupakan satu fenomena biasa yang bukan pertama kali berlaku dan boleh dijangka kejadian seterusnya oleh para ahli astronomi. – KOSMO! ONLINE