SEBERANG PERAI – Remaja perempuan yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang selepas dipercayai kecewa susulan dua kali gagal dalam ujian memandu Khamis lalu ditemui selamat berhampiran kawasan pelabuhan di sini, hari ini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Faris Izwan Ahmad Fadzilah berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Perai menerima panggilan daripada polis berhubung penemuan itu pada pukul 10.25 pagi.
“Mangsa yang berusia 17 tahun ditemui lemah di kawasan pelabuhan pada pukul 9 pagi. Remaja itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ). Operasi tamat pada pukul 10.51 pagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sebekum ini Kosmo! Online melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja terbabit dilakukan BBP Perai dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Butterworth selepas menerima panggilan pukul 11.23 pagi, Khamis lalu.
Mangsa meninggalkan motosikal milik ibu saudaranya di Kilometer 2.2, Jambatan Pulau Pinang di sini, dari arah Perai menghala ke pulau.
Mengulas lanjut, Faris Izwan berkata, mangsa dipercayai berenang ke arah bangunan berbumbung biru sebelum tersangkut pada pokok bakau di kawasan berlumpur berhampiran pelabuhan terbabit.
“Sepanjang dua hari tersangkut, mangsa melambai ke arah orang awam bagi meminta pertolongan.
“Lambaian mangsa disedari seorang pegawai operasi bomba pelabuhan sewaktu berjoging pukul 9 pagi tadi sebelum remaja tersebut diselamatkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.