KUCHING – Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya di sebuah sungai di Samariang, di sini, hari ini.
Kejadian pada pukul 4.27 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 15 tahun bersama tiga rakannya turun ke sungai untuk mengambil jala yang tersangkut.
Bagaimanapun, mangsa yang berada paling hadapan telah disambar buaya dan disaksikan rakannya sebelum melihat mangsa dibawa ke hulu sungai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut selepas mendapat panggilan daripada rakan mangsa.
Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikejarkan ke lokasi di Bandar Baru Samariang sebaik menerima panggilan itu.
“Maklumat awal diperoleh, rakan mangsa menyaksikan rakannya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dibaham buaya.
“Mangsa bersama rakannya berada di sungai tersebut untuk menjala serta memancing sebelum hilang dibaham buaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih diteruskan dengan membuat pusingan pencarian Water Surface Searching menggunakan bot penyelamat dalam radius 2 kilometer.-KOSMO! ONLINE.