PETALING JAYA – “Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.”
Itu perumpamaan sesuai imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terpalit salah laku anggotanya sehingga dipandang serong masyarakat.
Media sosial kini sarat dengan komen menunjukkan betapa kecewanya masyarakat tatkala digemparkan berita seorang pegawai kanan polis melanggar mati pelajar tingkatan lima di Ipoh, Perak pada 15 Disember lalu.
Secara jujurnya, penulis rasa terkesan dengan kejadian tersebut dan berharap nasib remaja 17 tahun itu akan terbela kelak tanpa mengira siapa pun pelakunya.
Tidak kurang juga, komen serta hantaran hinaan terhadap pasukan itu dek ‘pengalaman’ lampau mereka dengan anggota berkenaan.
Ada pengguna mendakwa mereka dipaksa membayar ‘duit tepi’ supaya lepas dari kesalahan, ada yang dipaksa mengaku salah dan banyak lagi, namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut dengan kuasa pihak lawan.
Memandangkan ia sering berlaku, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pasukan beruniform mempunyai disiplin seperti termaktub dalam Akta Polis dan juga Perintah Am berkaitan Kelakuan dan Tatatertib Penjawat awam.
“Setiap salah laku pegawai polis, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib yang membawa kepada hukuman seperti turun pangkat, tangguh kenaikan pangkat, denda, potong gaji, tahan kenaikan gaji dan sehingga boleh dibuang kerja.
“Jika pegawai polis melakukan kesalahan jenayah dia perlu disiasat dan jika cukup keterangan dituduh diatas kesalahan jenayah yang dilakukan di mahkamah. Sekiranya didapati bersalah boleh dihukum mengikut hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Mengulas lanjut mengenai hukuman, beliau berkata, pegawai kanan polis yang melakukan jenayah selalunya akan dihukum lebih berat daripada orang awam kerana mengetahui malah ditugaskan agar menghormati undang-undang.
“Pegawai dan anggota polis semasa dalam latihan lagi diajar untuk menjaga imej pasukan.
“Perlu ada kawal selia untuk menjaga tingkah laku anggota serta pemantauan yang tegas oleh pegawai-pegawai penyelia. Anggota yang melanggar disiplin ini perlu dihantar untuk kursus ‘retraining’ agar dapat membentuk semula sikap” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau juga meminta orang awam yang berdepan dengan anggota tidak amanah untuk berani membuat laporan.
“Sesiapa sahaja yang berdepan dengan anggota berbuat salah laku perlu melaporkan kepada polis agar tindakan dapat diambil terhadap mereka.
“Orang ramai boleh menulis terus kepadanya dengan menyatakan tarikh dan masa ia berlaku atau terus membuat laporan.
“Setiap laporan yang dibuat, polis akan memberi maklum balas dalam masa dua minggu perkembangan siasatan dan tindakan mereka kepada pengadu,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru polis dan masyarakat untuk saling bekerjasama membenteras penyelewengan atau jenayah dengan tidak mengambil kira siapa pelakunya agar undang-undang dapat ditegakkan dan dihormati oleh semua pihak. -KOSMO! ONLINE