BANGKOK – Seorang pemuda berusia 21 tahun di Thailand hilang nyawa semasa membaiki traktor menggunakan pengetahuan yang diperoleh daripada sebuah laman video popular, lapor portal berita Thaiger semalam.
Seorang kakaknya berkata, dia meminta pemuda itu belajar secara formal sebelum memandu atau membaiki traktor tersebut.
Anggota dari Balai Polis Mueang Buriram dipanggil ke ladang tebu di daerah Mueang, rantau Isaan, selepas dimaklumkan tentang kematian pemuda tersebut, Sirimongkhon Sitchok.
Mereka menemui mayat Sirimongkhon dengan kepala dan lehernya hancur digilis traktor yang dibaikinya.
Sebelum kemalangan berlaku, enjin traktor dibiarkan hidup ketika dia membaiki peralatan membajak yang terletak di bahagian belakang kenderaan itu.
Semasa selesai membaikinya, traktor itu mengundur dan melanggar mangsa.
Pemilik traktor, Kamchai In-thorn menjelaskan bahawa dia membiarkan Sirimongkhon memandu traktornya kerana ia bukannya kerja yang sukar. – AGENSI