fbpx

K2

Pecutan adrenalin Kelah Gold buru layaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH seorang ahli pasukan Kelah Gold berjaya mendaratkan ikan layaran.

IKAN layar atau layaran tergolong dalam kumpulan Istiophoridae iaitu sekeluarga bersama mersuji (marlin) atau todak (swordfish).

Terdapat dua jenis subspesis layaran yang direkodkan iaitu layaran Atlantik dan layaran Indo-Pasifik.

Taburan spesies layaran adalah di sekitar utara India, Selatan Pasifik Australia, Laut Mediterranean, Laut China Selatan, Selat Melaka sehingga ke Laut Sulu.

Kelajuan maksimum layaran boleh mencecah sehingga 110 kilometer/jam menjadikannya sebagai ikan terpantas di muka bumi.

Jadi, tidak hairanlah layaran menjadi buruan kaki pancing yang gemarkan cabaran dalam memburu spesies ikan terpantas itu.

Di Malaysia, saban tahun, bermula Ogos sehingga Oktober, layaran akan singgah di perairan Mersing, Johor terutama Rompin (Pahang) untuk mencari makanan dan mengawan.

Situasi ini menjadi pendorong kepada kerajaan Pahang untuk menganjurkan acara tahunan, Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC).

Disertai pasukan dari dalam dan luar negara, RPBIC diiktiraf oleh International Game Fish Association (IGFA).

Juara RPBIC akan mewakili negara dalam penyertaan Offshore World Championship (OWC) yang dilangsungkan di Costa Rica pada setiap tahun.

Tahun ini, penulis berkesempatan menyertai secara langsung sebagai sebahagian daripada pasukan Kelah Gold.

Diasaskan oleh Talmisani Idris, Kelah Gold mula ditubuhkan sekitar tahun 2017.

Penyertaan pertama mereka dalam RPBIC bermula pada tahun 2018 dengan disertai pemancing-pemancing berpengalaman iaitu Shafaril Mohd. Yussof, Muhamad Alif Mohamed Nordin dan Muhamad Kamarul Asri Kamal.

Kebetulan pada tahun tersebut, penulis ditugaskan membuat liputan berkenaan RPBIC untuk akhbar The Malaysian Reserve.

KELAH GOLD berjaya menduduki tempat keenam pada RPBIC 2023 yang berlangsung di perairan Rompin, Pahang baru-baru ini.

Tuah sememangnya menyebelahi mereka apabila penyertaan kali pertama dalam RPBIC pada tahun tersebut apabila berjaya merangkul tempat pertama.

Menurut Talmisani atau lebih popular dengan panggilan Tok Uban, penyertaan Kelah Gold pada mulanya hanya sekadar menyahut cabaran daripada tekong Mat Rompin, namun tidak menyangka cubaan kali pertama membuahkan hasil dengan merekod tangkapan layaran sebanyak 17 ekor.

Ketika negara dilanda Covid-19 pada 2020-2021, Kelah Gold acap kali menduduki kedudukan teratas.

Mereka beberapa kali menaiki podium sehinggakan nama Kelah Gold amat dikenali oleh pemancing di luar dan dalam negara.

Sedikit berbeza untuk RPBIC edisi 2023, acara itu berlangsung pada September. Namun, pada tahun ini RPBIC dilangsungkan pada Oktober.

Ini memberi sedikit cabaran kepada kumpulan yang bertanding terutama buat Kelah Gold, di mana Oktober merupakan penghujung musim buat kawanan layaran singgah di perairan Mersing sebelum bergerak ke tempat lain.

Walaupun begitu, RPBIC 2023 tetap mendapat sambutan dengan 13 kumpulan menyertai edisi kali ini, antaranya Xzoga, Lemax dan Expert Graphite.

Cabaran bermula sehari sebelum pertandingan, ketika kami melakukan test-run untuk mengenal pasti lubuk yang menjadi ‘padang’ buruan layaran.

Berapa kali kami terserempak dengan kawanan ikan layar bermain air, namun setelah ‘dihulur’ umpan keadaan menjadi sunyi sepi, ditambah dengan keadaan air yang lenang seperti padang bola.

Agak bosan menunggu, kami membuat keputusan untuk mengisi masa dengan mencandat sotong mengabang.

Kurang sejam kami berjaya menaikkan sebanyak 40 ekor sotong, lalu kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti untuk bersiap menghadiri sesi taklimat pada sebelah malam.

Pada hari yang dinantikan, kami bertolak dari pengkalan seawal pukul 7 pagi menuju ke Jeti Pantai Bernas untuk sesi pelepasan secara rasmi RPBIC 2023 oleh Datuk Edros Yahya selaku Pengurus Lembaga Pembangunan Tioman.

Nasib tidak menyebelahi kami pada hari pertama, apabila hanya berjaya menaikkan dua ekor layaran ‘bujang’, namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat.

Bersambung hari kedua, ikan dan arus masih lagi tidak memberi kerjasama, tetapi kami berjaya menambah seekor lagi tangkapan, sekali gus mengumpul jumlah tangkapan sebanyak tiga ekor.

Tamat pertandingan, Kelah Gold berada di kedudukan keenam bagi merangkul trofi dan wang tunai sebanyak RM3,000.

Tempat pertama dimenangi oleh pasukan Xzoga, Lemax Pro Team (kedua), manakala LXF-ROH (ketiga). Walaupun berada di kedudukan keenam, namun yang pasti pasukan Kelah Gold bertekad akan kembali lagi untuk edisi tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI