fbpx

Manchester City lengkapkan gelaran kelima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MANCHESTER CITY menjulang trofi keempat dengan menjulang gelaran Piala Kelab Dunia selepas menundukkan Fluminense awal pagi semalam. - AFP

JEDDAH – Manchester City terus membuktikan kehebatan mereka apabila menyempurnakan tahun cemerlang dengan meraih trofi kelima selepas menjulang kejuaraan Piala Kelab Dunia apabila menundukkan Fluminense 4-0 pada aksi awal pagi semalam.

City tidak menunggu lama untuk berada di hadapan apabila Julian Alvarez membuka tirai jaringan ketika perlawanan baru berlangsung 40 saat selepas menyambut bola rembatan Nathan Ake yang terlebih dahulu mengenai palang sebelum menyudahkan peluang tersebut.

Kira-kira 27 minit kemudian, City bertambah selesa apabila melebarkan jurang jaringan selepas pemain pertahanan kelab dari Brazil itu, Nino tertampan bola ke gawang sendiri untuk mereka menuju ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.

Babak kedua menyaksikan City terus menggandakan asakan untuk mendapatkan lebih jaringan dan hasilnya Phil Foden mencetak nama selaku penjaring gol ketiga pada minit ke-72 sebelum Alvarez melengkapkan malam gemilang The Citizens menerusi gol keempat dua minit sebelum masa sebenar perlawanan berakhir.

Kejayaan itu menyaksikan pasukan dari Eropah terus menguasai saingan Piala Kelab Dunia apabila merangkul 16 gelaran daripada 17 pertandingan sebelum ini.

Bagaimanapun, City terpaksa membayar mahal harga kemenangan tersebut apabila tonggak utamanya, Rodri berdepan kecederaan pada lutut kanan selepas menerima terjahan keras daripada pemain Fluminense, Alexsander menyebabkan dia terpaksa dikeluarkan.

Biarpun turun tanpa kelibat beberapa pemain bintang seperti Erling Haaland yang tercedera dan Kevin De Bruyne yang masih dalam proses pemulihan, City berjaya mempamerkan penguasaan untuk meraih trofi tersebut buat kali pertama dalam sejarah kelab itu sekali gus membuktikan kehebatan mereka yang berjaya menjulang gelaran trebel musim lalu.

Tempat ketiga menjadi milik Al Ahly yang merupakan wakil dari benua Afrika selepas mereka menundukkan Urawa Red Diamonds 4-2 dari Jepun yang turun selaku juara Asia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI