LONDON – Seorang wanita terkejut apabila menemui ‘kaki haiwan kecil’ di dalam hidangan ayam tikka masala yang dipesan ketika mengunjungi sebuah restoran di Britain, lapor akhbar Daily Star semalam.
Pelanggan berusia 33 tahun itu mengunjungi restoran Bon Pan Asian di Stoke-on-Trent bersama anak, ibu dan saudara lelakinya pada minggu ini.
Setelah menemui objek pelik dalam pinggan, dia memanggil seorang kakitangan senior dan seorang cef untuk mendapatkan penjelasan.
Cef berkenaan memberitahu bahawa objek aneh itu bukan ‘kaki haiwan kecil’ namun sebenarnya rempah buah pelaga yang berketul di dalam pengisar.
“Apabila kami pulang ke rumah, kami mencari pelbagai rempah ratus yang berbeza bentuk ketika masih mentah atau sudah dimasak. Tetapi ia tidak menyerupai objek yang kami temui,” katanya.
Pengurus Bon Pan Asian, Ray Shao berkata: “Jelas sekali ia bukan kaki haiwan dan orang ramai boleh melihatnya dengan mata mereka sendiri.
“Kami sudah dilawati pegawai majlis dan tiada kesan tikus di restoran itu,” katanya. – AGENSI