KUALA LUMPUR – Arena bola sepak negara terus diwarnai cerita gembira apabila skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara catatkan kemenangan 1-0 ke atas China B-23 di Stadium Jinshan, Shanghai, sebentar tadi.
Keputusan ini pastinya mencetuskan khabar kurang gembira buat tuan rumah selepas skuad seniornya turut kecewa apabila diikat Harimau Malaya 1-1 pada aksi persahabatan September lalu.
Ia juga memberikan markah penuh buat pengendali pasukan negara, Juan Torres Garrido pada perlawanan pertamanya sejak dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan E. Elavarasan.
Terdahulu, keputusan 0-0 di babak pertama seakan beri bayangan kualiti yang ada pada skuad muda negara dan kedudukan itu jelas beri suntikan motivasi untuk tampil lebih baik pada baki 45 minit kedua.
Aksi bersambung menyaksikan permainan agak positif dijelmakan pemain negara namun kedua-dua pasukan seakan dihimpit masalah sentuhan penyudah.
Bagaimanapun, ketika aksi hampir berakhir seri, bek tengah Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar memastikan perhitungan pertama kali ini menjadi milik Malaysia apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu buat kali kedua, Selasa ini. – KOSMO! ONLINE