LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui tidak gembira dengan sokongan diberikan peminat pasukan itu ketika mereka mencatat kemenangan 5-1 ke atas West Ham United pada aksi Piala Liga Inggeris (EFL) kelmarin.
Menurutnya, para penyokong yang telah mendapatkan tiket untuk aksi menentang Arsenal awal pagi esok perlu memenuhi Anfield atau memberikannya kepada mereka yang berminat untuk hadir sekiranya mereka tidak mampu berbuat demikian.
Biarpun gembira dengan aksi dipamerkan oleh para pemain ketika mengesahkan slot separuh akhir EFL itu, Klopp meluahkan kekecewaan dengan suasana di Anfield yang dianggap gagal memberikan sokongan padu kepada pasukannya.
“Saya tidak gembira dengan suasana di belakang saya. Kami membuat banyak perubahan, mendominasi West Ham, mencipta banyak peluang dan jaringan. Sekiranya saya berada di tempat duduk penonton, saya akan berdiri sepanjang perlawanan itu,” katanya.
Melayan kunjungan Arsenal dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL), Klopp percaya suasana di stadium mampu untuk membantu meningkatkan semangat para pemain dan berharap para peminat mampu melakukannya.
“Kami berharap peminat akan terus berdiri sejak dari awal permainan tanpa perlu saya pergi bergaduh dengan pengurus pasukan lawan. Kami perlukan anda dari awal perlawanan.
“Saya tidak pasti adakah situasi ini berpunca daripada terlalu banyak perlawanan pada Disember, saya minta maaf kerana kami terpaksa melaluinya. Jika anda tidak berminat, tolong berikan tiket itu kepada mereka yang menginginkannya,” kata Klopp.
Dalam pada itu, Klopp mengakui keputusan seri tanpa jaringan mungkin menyebabkan peminat Liverpool bersikap sedemikan kerana mereka memiliki terlalu banyak peluang, namun gagal disudahkan.
“Saya tidak pasti, tapi mungkin kerana kami bermain teruk menentang Manchester United dan kami perlu mengatakan ‘kami minta maaf kerana tidak dapat menewaskan mereka’,” jelasnya. – AGENSI