DUNGUN – Seramai 15 peniaga yang menyertai kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura cemas apabila kanopi gerai jualan mereka diterbangkan angin kencang di Pantai Sura di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 1.20 tengah hari itu turut menyebabkan dua individu cedera serta kerosakan kepada beberapa kenderaan.
Salah seorang peniaga, Rohana Muda, 48, berkata, sewaktu kejadian, mereka sedang rancak berniaga sebelum angin kencang tiba-tiba menerpa dari arah pantai.
“Pada mulanya, hujan renyai dan sekejap-sekejap sebelum tiba-tiba lapan kanopi gerai jualan kami diterhangkan angin kencang tanpa sempat berbuat apa-apa.
“Banyak barang-barang peniaga termasuk makanan dan pakaian kami rosak terkena hujan dan diterbangkan angin,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pantai Sura di sini hari ini.
Rohana berkata, dua individu mengalami cedera ringan akibat terkena besi kanopi yang diterbangkan.
Sementara itu, salah seorang pengunjung, Ahmad Adli Sulaiman, 40, pula terkejut penganjuran pertandingan bola sepak pantai itu diteruskan walaupun Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang di Terengganu sehingga Selasa depan. – KOSMO! ONLINE