PETALING JAYA – “Saya bangga keluarga saya semuanya syahid.”
Demikian luahan hati seorang wanita Palestin yang berulang kali menyebut bahawa dia reda dengan takdir, setelah seluruhnya keluarganya terbunuh dalam serangan kejam rejim Zionis di Semenanjung Gaza.
Meskipun raut wajahnya kelihatan sedih, namun wanita itu tetap mengukir senyuman setiap kali memberitahu orang ramai bahawa keluarganya telah syahid.
“Beritahu semua orang saya sangat bangga. Ahli keluarga saya syahid dan saya gembira untuk mereka,” luahnya.
Situasi menyayat hati itu dikongsikan wartawan Palestin, Hani Abu Rezeq di laman Instagramnya, baru-baru ini.
Menurut Hani, keluarga wanita itu dan lebih 100 penduduk lain terbunuh dalam serangan tentera Israel yang bertindak membedil bandar Deir Alym.
Dalam perkongsian lain, Hani turut memuat naik rakaman memaparkan seorang remaja perempuan mengucapkan selamat tinggal buat bapa dan abangnya yang turut terkorban ketika tentera Israel mengebom Kem Nuseirat.
“Selamat tinggal sayangku. Selamat tinggal buah hatiku,” kata remaja itu sambil memegang jenazah kedua-dua insan tersayangnya sebelum dibawa pergi oleh orang ramai untuk proses pengebumian.
Memasuki hari ke-76 hari ini, Kementerian Kesihatan Gaza memberitahu, angka kematian sudah melebihi 20,000 orang kira-kira 70 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak sejak tercetusnya konflik di antara Palestin dan Israel pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun, terdapat puluhan ribu lagi mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan sebahagian besar daripada mereka mati tertimbus.
Dalam pada itu, kebanyakan hospital di seluruh Gaza kini telah ditutup gara-gara ratusan doktor serta pekerja kesihatan mereka terkorban dalam serangan berdarah itu selain sistem komunikasi terhalang berikutan kekurangan bahan api dan elektrik. – KOSMO! ONLINE