PETALING JAYA – Sifat empati seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang pegawai keselamatan yang mengalami kerosakan kenderaan di tengah jalan telah menyentuh hati ribuan pengguna di media sosial.
Dalam sebuah video tular di laman Facebook, pegawai polis tersebut dipercayai sedang melakukan rondaan sebelum berhenti untuk membantu pemilik kenderaan di tengah-tengah jalan raya yang sibuk.
Lebih memilukan, pengawal keselamatan tersebut baru sahaja membelikan hadiah untuk anak-anak sebelum kenderaannya rosak di tengah jalan.
“Disebabkan segi tiga (keselamatan) tidak ada, kami terpaksa gunakan kon polis untuk menyuraikan trafik demi keselamatan bersama.
“Kami juga cuba tahan kenderaan lain untuk beri bantuan sebelum pihak insurans sampai. Namun, pada awalnya kami tidak berjaya.
“Mujurlah ada pemandu jentera kaut yang sanggup berhenti dan berikan bantuan awal kepada kami,” katanya dalam video tersebut.
Menurut hantaran di laman Facebook PRDM, pegawai tersebut merupakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai memuji tindakan anggota polis tersebut yang sanggup berhenti menghulur bantuan walau sedang sibuk bekerja.
“Syabas PDRM, memang terbaik anggota tersebut. Dalam keadaan begitu, abang tu mesti panik. Dengan kehadiran anggota tersebut, inshaAllah dapat membantu,” kata Hafiz.
“Terbaik PDRM. Sebab itulah, kalau polis tahan berilah kerjasama. Jangan cepat melenting. Kalau tidak buat salah jangan takut. Semoga dipermudahkan urusan semua anggota beruniform di luar sana,” kata Din.
“Inilah lambang perpaduan di negara kita,” kata Narmi. – KOSMO! ONLINE