KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) mengesahkan, tindakan pengosongan premis terhadap sebuah restoran ‘berputar’ terkenal, dibuat selepas perjanjian penyewaan yang dimeterai, telah tamat tempoh pada Jun lalu.
Berdasarkan kenyataan media, sebelum ini, Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. (AKSB) telah memeterai perjanjian untuk mengendalikan perniagaannya, termasuk Atmosphere 360 dan Café 360 dengan MKLSB, yang mana kontrak itu akan tamat tempoh pada 31 Disember 2022.
Bagaimanapun dua bulan sebelum tamat kontrak iaitu 10 Oktober tahun sama, MKLSB berkata, makluman awal disampaikan kepada AKSB bahawa penyewaan premis itu tidak akan diperbaharui dan ia akan tamat pada tarikh sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
Katanya, AKSB kemudiannya merayu supaya lanjutan sewaan itu dapat dibuat, dan MKLSB bersetuju serta membenarkan syarikat itu menjalankan perniagaan sehingga 30 Jun lalu.
Namun pada 9 Jun lalu, AKSB memfailkan injunski untuk menghalang MKLSB daripada menguatkuasakan haknya sebagai pemilik, tetapi Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan itu pada 27 Jun lalu.
Susulan itu, setelah tamat tempoh penyewaan pada bulan Jun, MKLSB telah meminta AKSB mengosong premis namun ia tidak diendahkan.
“Walaupun AKSB telah menyalahi undang-undang bermula 1 Julai, MKLSB tidak sekali pun mengganggu operasi dan pengurusan Atmosphere 360 dan Café 360,” katanya.
MKLSB ingin menekankan bahawa, semua langkah yang diambil dalam menyelesaikan isu penyewaan ini, dilakukan dengan undang-undang dan prosedur sedia ada.
Katanya, laporan yang dikeluarkan pihak media sebelum ini, kurang tepat kerana pihak mahkamah telah mengeluarkan writ pemilikan, penyitaan dan penjualan, supaya, Atmosphere 360 & Café 360 supaya tidak lagi beroperasi di menara itu.
“MKLSB amat kesal dengan kejadian pada Khamis, kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pengunjung dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, sukacita dimaklumkan bahawa seluruh Menara KL beroperasi seperti biasa,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, sebuah restoran ‘berputar’ terkenal di menara ikonik Kuala Lumpur itu menghentikan operasi mereka susulan perintah pengosongan premis oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Pada 5 April lalu, Syarikat Hydroshoppe dan pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Ia bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.
Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbabit dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.
Abdul Hamid Shaikh pula berdepan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama, sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe. – KOSMO! ONLINE