RANTAU PANJANG – “Saya terus jerit Allah Firdaus… Allah Firdaus apabila lihat dia tenggelam di dalam paya depan mata. Saya cuba capai tapi tak sampai sebelum dia terus tenggelam tak timbul-timbul.”
Cerita Nabihah Che Muda, 21, lagi, dia hanya mampu melihat anaknya, Firdaus Mohd. Faizal, setahun tiga bulan, terkapai-kapai selepas terjatuh ke dalam paya sedalam 10 meter sebelum pengsan beberapa kali.
Kejadian pada pukul 12 tengah hari semalam di Taman Rantau Baru di sini itu berlaku ketika Nabihah membawa anaknya ketika berkunjung ke kedai makan ibu saudaranya untuk membantu membersihkan premis yang terjejas akibat banjir.
Warga Thailand itu berkata, ketika dia sedang leka membersihkan ruang kedai, dia panik apabila tidak nampak kelibat anaknya yang sekelip mata sudah hilang daripada pandangannya.
Katanya, anaknya baru pandai bertatih dan mungkin terjatuh ke dalam paya ketika berjalan bersendirian.
“Dalam keadaan cuak, saya terus mencarinya di belakang kedai sebelum melihat tangan Firdaus terkapai-kapai di dalam paya itu. Saya cuba mencapai tangannya, namun tidak sampai.
“Depan mata, saya lihat dia tenggelam dan saya terus menangis dan meraung. Kejadian itu berlaku sangat pantas dan dia langsung tidak timbul-timbul selepas itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Nabihah, dia kemudian terus memanggil sepupunya yang berada di dalam premis untuk membantu menghubungi pihak penyelamat.
Tambahnya, dia tidak dapat menahan tangisan apabila anaknya itu tenggelam sebelum dia pengsan beberapa kali.
“Apabila bomba berjaya menemui mayat anak dan membawanya ke atas, saya sekali lagi hampir pengsan dan sempat mencium jenazah Firdaus berkali-kali,” katanya.
Ujar Nabihah, dia tidak menyangka Firdaus pergi untuk selama-lamanya dan mereka sempat bergurau mesra dengan dia mencium anaknya berkali-kali ketika mereka bermain bersama.
“Suami saya tiada kerana mempunyai urusan sebagai pengawal keselamatan di Bangkok sejak dua hari lalu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Pegawai Bomba Kanan I, Syamsul Faizal Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.21 tengah hari.
Menurutnya, mangsa ditemui tidak jauh dari di lokasi dia terjatuh selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan selama satu jam 39 minit.
“Mayat mangsa dijumpai di dalam paya tersebut pada kedalaman hampir 10 meter. Mayat bayi tersebut diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas di sini untuk dibedah siasat,” katanya.