KUALA LUMPUR – Beberapa barangan milik penyanyi rap dan selebriti media sosial, Caprice dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.
Ariz Ramli, 35, berkata, tindakan tersebut dipercayai untuk membantu siasatan berhubung video yang dimuat naiknya, baru-baru ini.
“PDRM merampas dua buah telefon bimbit, komputer riba, kamera dan kad SD bagi tujuan siasatan.
“Kita ada undang-undang, bukan PDRM sahaja perlu jaga undang-undang tapi orang awam kena patuh. Kalau langgar undang-undang memang mereka akan cari kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Caprice tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 12.30 tengah hari dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki.
Siasatan terhasap Caprice dipercayai akibat memuat naik sebuah video tentang insiden calon Sijil Pelajaran Malaysia yang dilanggar maut pada 15 Disember lalu.
Difahamkan, dalam video berkenaan Caprice telah menggelar anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat. – KOSMO! ONLINE