BANGKOK – Seorang pemuda Thailand berusia 22 tahun yang mempercayai dirinya sakti dan mampu menjadi halimunan ketika melakukan rompakan akhirnya ditangkap polis di wilayah Nakhon Si Thammarat, lapor portal berita Thaiger semalam.
Pemuda itu, Kritsada Tapi sebenarnya bukan halimunan apabila rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia membaca mantera di setiap lokasi rompakannya.
Polis dan mangsa percaya bahawa pemuda itu yakin dia mempunyai kuasa ghaib dan menggunakan ‘kesaktian’ tersebut untuk menghilangkan diri ketika melakukan rompakan bagi mengelak ditangkap.
Bagaimanapun, polis berjaya mengesan Kritsada kelmarin. Dia ditemui bersembunyi di sebuah pondok kecil di ladang getah di daerah Tham Phannara, wilayah Nakhon Si Thammarat.
Anggota-anggota pihak berkuasa menyerbu pondok itu ketika dia sedang tidur dan memberkasnya. Semasa soal siasat, Kritsada mengaku dia menyembunyikan harta curi di sebuah pondok lain yang terletak sejauh 3 kilometer.
Anggota-anggota polis kemudian menggeledah pondok itu dan menemui banyak barang curi termasuk 200 azimat, wang tunai dalam mata wang Thai dan asing, dua jam tangan, telefon bimbit, serta beberapa beg wanita.
Kritsada mengaku dia berulang kali mencuri dari rumah-rumah di daerah Phra Saeng dan Tham Phannara di Nakhon Si Thammarat serta melakukan jenayah itu seorang diri.
Dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara 20,000 baht (RM2,665) hingga 100,000 baht (RM13,326) kerana melakukan kecurian pada waktu malam mengikut Seksyen 335 Undang-Undang Jenayah Thailand. – AGENSI