HANOI – Seorang remaja berumur 18 tahun didakwa melanggar seorang pegawai polis sehingga menyebabkan satu kakinya patah dalam kejadian di sebuah sekatan jalan raya di wilayah Nghe An, Vietnam, lapor portal berita VNExpress kelmarin.
Polis daerah Hung Nguyen menyatakan kelmarin bahawa pihaknya akan menyiasat remaja itu yang dikenali sebagai Ba Hoai Nam kerana sengaja mencederakan pegawai polis.
Kejadian bermula selepas pegawai meminta Nam untuk berhenti pada pukul 2 petang (waktu tempatan), 11 Disember lalu kerana tidak memakai topi keledar.
Namun, remaja tersebut enggan berhenti dan terus menunggang motosikalnya sehingga melanggar pegawai berkenaan, Leftenan (polis) Nguyen Xuan Canh, menyebabkan dia terjatuh dan sebelah kakinya patah.
Pegawai itu kemudian dihantar ke sebuah hospital di Hanoi untuk mendapatkan rawatan.
Remaja tersebut akhirnya mengaku dia sedar telah melanggar peraturan jalan raya tetapi cuba mengelak sekatan jalan raya supaya tidak disaman. – AGENSI