MELAKA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menaik taraf dua kemudahan latihan khusus di Kem Sungai Udang, di sini dan Kem Iskandar, Johor untuk kegunaan Grup Gerak Khas (GGK) atau komando.
Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah berkata, projek menaik taraf itu dijangka siap pada pertengahan tahun depan, sekali gus membantu menambah baik kesiapsiagaan anggota GGK.
“Selain daripada mengadakan latihan bersama pasukan keselamatan lain seperti Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Pasukan 69 Komando (VAT 69), penyediaan kemudahan yang lebih baik ini dapat meningkatkan kompetensi setiap anggota komando.
“Naik taraf ini melibatkan fasiliti sedia ada. Kita juga mempunyai perancangan untuk mewujudkan kemudahan latihan baharu bagi tujuan khusus untuk anggota komando di Johor dan Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-58, di sini hari ini.
Sementara itu, mengenai prestasi semasa anggota GGK, Adi Ridzwan berkata, pihaknya telah terlibat dalam pelbagai operasi latihan termasuk melaksanakan eksesais bersama tentera asing bagi memantapkan kompetensi anggota. – KOSMO! ONLINE