PETALING JAYA – Jurugambar Palestin, Motaz Azaiza kini meraih lebih 17.4 juta pengikut di Instagram, sekali gus berjaya ‘memotong’ populariti Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dengan hanya 17.2 juta pengikut.
Nama Motaz Azaiza sering menjadi bualan penduduk dunia selepas dia menjadi antara pengamal media yang tidak putus-putus berkongsi serta melaporkan keadaan terkini di Gaza, sejak tercetusnya konflik di antara Palestin dan Israel pada 7 Oktober lalu.
Jurugambar Palestin itu bukan sahaja dilihat sanggup bergadai nyawa demi membuktikan betapa kejamnya serangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, malah dia dikatakan turut menjadi sasaran bedilan tentera penceroboh tersebut.
Terdahulu, Motaz Azaiza telah dinobatkan sebagai ‘Man of the Year’ dari majalah terkenal GQ Edisi Timur Tengah di atas sumbangannya yang dianggap bersifat heroik.
Sebelum ini, semakan Kosmo! di laman Instgram Motaz Azaiza, dia hanya mempunyai sekitar 700,000 pengikut, namun dalam tempoh lebih dua bulan, terdapat peningkat pengikut secara mendadak.
Ia berlaku selepas dia dianggap pencetus inspirasi kepada dunia menerusi perkongsian mengenai kesengsaraan penduduk Gaza yang menjadi mangsa perang di laman sosialnya. – KOSMO! ONLINE