PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tiada muslihat tertentu berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham yang dipercayai ada kaitan siasatan kes rasuah dan penyelewengan.
Perdana Menteri itu berkata, siasatan yang dijalankan oleh SPRM itu telah membuktikan mereka menjalankan siasatan tanpa mengira latar belakang, pangkat dan kedudukan seseorang yang melakukan kesalahan.
“Sebab itu saya cakap tidak kira Tan Sri ke Datuk Seri ke, biar SPRM lakukan siasatan, biar kepala-kepala ni disiasat kalau tidak masih ada yang mempertahankan dengan media sosial dan pelbagai.
“Itu memang tanggungjawab SPRM untuk jalankan tugas siasatan dan jangan buat tafsiran. Setiap kali kita sentuh orang besar maknanya ada muslihat. Kalau orang kecil ribuan kita sentuh tidak ada apa-apa. Sistem apa begitu,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kota Damansara dekat sini hari ini.
Tambah beliau, sistem (undang-undang) negara yang ada bukan satu sistem bobrok (rosak), bahkan katanya, biarkan sistem tersebut untuk menjalankan tugas dan bertindak kepada perasuah besar.
“Sistem kita bukan bobrok, bagi saya biar sistem tersebut jalankan tugasnya dan memberi satu contoh keberanian untuk bertindak terhadap perasuah besar.
“Apakah ia benar atau tidak, biarlah proses itu dijalankan dan kemudiannya badan kehakiman memutuskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE