KULIM – “Kira-kira dua minit selepas sebuah van kilang beredar, tiba-tiba motosikal meluru masuk dengan laju dan melanggar tiang dalam masjid.”
Demikian cerita Shukri Mohamad, yang menjadi saksi kejadian seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terbabas ke dalam masjid di Guar Lobak, Padang Serai, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Motosikal ditunggangnya terbabas ke ruang solat berhampiran kolah di Masjid Jamek Darul Aman Kariah Guar Lobak, Padang Serai.
Shukri yang juga bilal berkata, kejadian itu berlaku di depan matanya ketika dia baru sahaja sampai ke masjid tersebut untuk azan solat subuh.
Katanya, ketika itu dia berada di tempat kejadian dan pada masa sama, sebuah van kilang berhenti di hadapan pintu pagar masjid.
“Pemandu lelaki itu berhenti sebab hendak guna tandas selepas itu dia beredar. Dia nak tutup pintu pagar, tapi saya minta biarkan saja kerana sudah hampir waktu subuh dan orang ramai akan datang solat jemaah,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Shukri berkata, sejurus van itu beredar, secara tiba- tiba sebuah motosikal ditunggang laju dari arah Jalan Sidam Kanan terbabas masuk ke dalam masjid.
Jelasnya, motosikal mangsa merempuh tembok kolah, sebelum terbabas ke ruang solat. Disebabkan kejadian itu, mangsa tersepit pada tiang hadapan sementara motosikalnya terpelanting kira-kira tiga meter.
“Saya segera meluru ke arah mangsa yang ketika itu dalam keadaan berlumuran darah. Saya mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah sebelum beberapa jemaah lain tiba dan menghubungi ambulan serta polis,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE