KHAN YOUNIS – Israel mengarahkan lebih banyak pemindahan di bandar utama di selatan Gaza ketika barisan diplomat meneruskan usaha gencatan senjata dalam perang yang dikatakan Hamas, telah meragut lebih 20,000 nyawa.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Israel mengeluarkan arahan pemindahan kelmarin untuk kawasan luas di bandar Khan Younis, di mana lebih 140,000 pelarian Palestin sedang berlindung.
Pada awal perang, Israel memberitahu orang awam untuk meninggalkan utara Semenanjung Gaza yang digempur dan mencari perlindungan di kawasan selatan Gaza.
Namun, apabila tempat untuk orang awam berlindung semakin sempit, kemarahan antarabangsa terus meningkat berhubung jumlah kematian panduduk Palestin.
Perang bermula apabila Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu dalam operasi yang menyebabkan 1,140 orang terbunuh. Hamas juga menculik kira-kira 250 tebusan Israel.
Pejabat media kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza berkata kelmarin bahawa sekurang-kurangnya 20,000 orang terbunuh di wilayah Palestin itu sejak perang dengan Israel bermula.
Menurutnya, 8,000 kanak-kanak dan 6,200 wanita adalah antara yang terkorban.
Ketua bantuan PBB, Martin Griffiths menganggap perkembangan tersebut sebagai ‘pencapaian tragis dan memalukan.’
Di bandar Rafah dekat sempadan Mesir, bola api dan asap tebal menyelubungi ruang udara selepas serangan Israel kelmarin, namun penduduk menyuarakan harapan agar rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung akan berjaya.
“Saya berharap untuk gencatan senjata sepenuhnya sekali gus menamatkan siri kematian dan penderitaan. Sudah lebih 75 hari,” kata Kassem Shurrab, 25.
Rundingan encatan senjata
Harapan Israel dan Hamas dapat mencapai satu lagi perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan meningkat minggu ini apabila ketua kumpulan Hamas melawat Mesir, manakala rundingan diadakan di Eropah.
Ketua Hamas berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh tiba di Mesir kelmarin untuk berbincang dengan ketua perisikan Kaherah, Abbas Kamel.
Haniyeh juga bertemu Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian tetapi tiada butiran dikeluarkan.
Seorang pegawai Hamas memberitahu AFP bahawa ‘gencatan senjata total’ dan pengunduran tentera pendudukan Israel dari Semenanjung Gaza adalah prasyarat untuk sebarang rundingan serius mengenai pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertegas bahawa tidak mungkin ada gencatan senjata di Gaza sebelum ‘penyingkiran’ Hamas.
Qatar yang disokong oleh Mesir dan Amerika Syarikat berjaya membantu merealisasikan perjanjian gencatan senjata selama seminggu pada bulan lalu yang menyaksikan seramai 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 tahanan Palestin.
Sementara itu, tentera Israel melaporkan bahawa angka kematian tenteranya meningkat kepada 134 orang di Gaza. – AFP