fbpx

Intoleransi laktosa kepada kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu bapa dinasihatkan untuk peka dengan keperluan pemakanan anak-anak. – GAMBAR HIASAN

MENJADI saat yang menggembirakan buat setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga apabila dikurniakan kelahiran cahaya mata.

Menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa untuk memastikan anugerah Tuhan itu membesar dengan sihat dan selalunya bayi yang dilahirkan itu akan diberi sama ada susu formula ataupun susu ibu supaya ia menerima nutrisi yang mencukupi dalam proses tumbesaran

Namun begitu, jika bayi mengalami masalah seperti cirit-birit, menangis berpanjangan atau hilang selera selepas diberi susu, maka ibu bapa perlu beri tumpuan kerana ia mungkin disebabkan intoleransi laktosa.

Pakar Perunding Pediatrik dan Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ong Sik Yong berkata, laktosa merupakan karbohidrat utama dalam susu badan manusia serta susu lembu.

Menurutnya, ia juga terdapat dalam banyak produk tenusu lain seperti keju dan yogurt.

“Laktosa yang dimakan oleh manusia perlu diuraikan melalui proses hidrolisis oleh enzim laktase yang terikat pada membran usus kecil sebelum ia diserap.

“Bagi bayi yang masih kecil, mereka sebenarnya tidak menyerap semua laktosa yang dicerna daripada susu ibu,” katanya.

Ketidakselesaaan perut dan kembung antara gejala intoleransi laktosa.
– gambar hiasan

Tambahnya, laktosa yang tidak diserap ini kemudiannya diperam di dalam kolon menjadi asid lemak rantai pendek, hidrogen, karbon dioksida dan metana.

Ia juga ditukar kepada asid laktik oleh bakteria enterik (Streptococcus laktis dan lain-lain) dan menjadi prebiotik dalam usus kita.

Peningkatan bilangan Bigidobacteria (bakteria usus baik) dan peningkatan kepekatan asid lemak rantaian pendek memberikan kesan perlindungan yang penting terhadap integriti mukus kolon dan bermanfaat untuk perkembangan imun awal.

Mengulas lanjut, Dr. Sik Yong berkata, bayi yang baru lahir secara semula jadi menghasilkan laktase yang mencukupi untuk mencerna kira-kira satu liter susu ibu setiap hari.

“Dalam kebanyakan populasi, paras laktase akan menurun selepas tempoh bercerai susu iaitu laktase tidak kekal.

“Kira-kira 70 peratus daripada populasi dunia dipengaruhi oleh laktase tidak kekal yang menyebabkan keadaan intoleransi laktosa primer,” jelasnya.

Lanjutnya, secara am, intoleransi laktosa primer tidak berlaku pada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Tambahan pula, intoleransi laktosa pada kanak-kanak biasanya disebabkan oleh masalah lain pada usus seperti jangkitan usus, alahan susu lembu, penyakit seliak atau penyakit radang usus.

Kebiasaannya ia bersifat sementara dan akan beransur hilang apabila keadaan patologi usus semakin baik.

Dalam pada itu, kanak-kanak yang mengalami intoleransi laktosa mempunyai satu atau lebih gejala usus atau luar usus apabila mengambil makanan yang mengandungi laktosa.

Antara gejalanya adalah mengalami ketidakselesaan perut, kembung perut, kentut dan cirit-birit.

Biasanya, gejala bermula kira-kira 30 minit hingga 2 jam selepas pengambilan.

Selain itu, najis mereka menunjukkan pH yang rendah iaitu kurang daripada 5.5 dan boleh menyebabkan kerengsaan kulit pada bahagian perianal dan pengelupasan ataupun luka melecet pada kulit di sekeliling dubur.

Biasanya keadaan tersebut berlaku berlaku selepas kanak-kanak mengalami gastroenteritis akut iaitu mereka tidak mampu mencerna laktosa buat sementara waktu.

Bagaimanapun, dalam kebanyakan keadaan, bayi tetap boleh menyusu seperti biasa.

“Hanya apabila berlaku simptom yang progresif atau teruk seperti ekskoriasi perianal, kanak-kanak mungkin perlu berhenti menyusu buat sementara waktu, namun si ibu boleh terus memerah susu badan untuk mengekalkan laktasi.

“Walau bagaimanapun, bayi yang mengalami intoleransi laktosa sementara boleh diberi susu formula bebas laktosa atau susu soya selama satu hingga dua minggu sehingga keadaan mereka bertambah baik,” nasihat Dr. Sik Yong.

Bagi intoleransi laktosa primer pada kanak-kanak, keadaan ini biasanya hanya berlaku selepas kanak-kanak itu mencapai usia lima tahun, tetapi ia juga boleh berlaku seawal usia dua tahun.

Apabila ia berlaku, simptom tersebut hanya boleh dikawal dengan mengehadkan pengambilan laktosa dalam diet mereka.

Ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa peka dengan keperluan pemakanan anak mereka.

Kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda intoleransi laktosa hanya boleh diberi produk tenusu dengan kandungan laktosa lebih rendah secara semula jadi.

Selepas mengehadkan pengambilan makanan berlaktosa dalam tempoh tertentu, mereka boleh ambil semula makanan dan minuman mengandungi laktosa dalam jumlah yang kecil.

Gejala penolakan terhadap laktosa perlu diberi perhatian sepanjang tempoh percubaan ini.
Selepas beberapa ketika, ibu bapa atau kanak-kanak itu sendiri akan dapat mengetahui berapa banyak laktosa yang mereka boleh ambil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI