KLANG – Kemalangan tiga kenderaan sehingga meragut dua nyawa di Persiaran Sultan Ibrahim di sini berlaku apabila salah sebuah kenderaan didapati hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, kedua-dua mangsa yang maut merupakan lelaki berusia 33 dan 35 tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa itu menaiki sebuah kereta jenis Toyota Altis dari Shah Alam menuju ke daerah ini.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta jenis Toyota Altis dinaiki dua lelaki itu hilang kawalan sebelum melanggar tembok konkrit tengah pembahagi jalan dan tiang lampu.
“Seterusnya kereta berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar dua buah kereta lain (Bezza dan Honda City) yang berada di laluan bertentangan,” katanya pada hari ini.
Impak kemalangan itu mengakibatkan dua lelaki yang menaiki Toyota Altis itu tercampak keluar ke longkang sebelum disahkan meninggal dunia.
“Seorang daripada lima beranak yang menaiki sebuah kenderaan (Bezza) dilaporkan cedera parah. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987,” ujarnya.
Kosmo! terdahulu melaporkan dua maut selepas tercampak dalam longkang selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Persiaran Sultan Ibrahim di sini. -KOSMO! ONLINE