BANGKOK – Harga beras melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun berikutan kebimbangan tentang impak peningkatan dalam permintaan dan fenomena cuaca El Nino, lapor portal berita Thaiger semalam.
Beras menjadi makanan ruji kepada berbilion-bilion penduduk Benua Asia dan Afrika, namun kos bijirin itu meningkat 2.5 peratus minggu lalu, untuk didagangkan pada harga AS$650 (RM3,011) satu tan, harga tertinggi sejak Oktober 2008.
Kali terakhir harga beras mencatatkan paras tersebut ialah pada awal Ogos lalu, didorong oleh sekatan eksport meluas oleh India dan keadaan cuaca kering yang mengancam tanaman padi di Thailand.
Namun, harga beras turun semula pada September dan Oktober 2023 sebelum meningkat sekali lagi sepanjang November lepas.
Trend itu berpotensi menyebabkan inflasi makanan kekal tinggi untuk bulan-bulan akan datang, terutamanya di negara-negara yang sangat bergantung kepada beras seperti Filipina.
Perdana Menteri India, Narendra Modi turut bimbang dengan inflasi makanan yang semakin meningkat menjelang pilihan raya umum di negaranya pada tahun depan.
Di sebalik India melaksanakan sekatan eksport beras, peningkatan hasil tuaian padi dan rizab negara yang mencukupi, harga beras terus meningkat.
Sepanjang dua tahun lalu, kos pengeluaran padi meningkat kira-kira 12 peratus setiap tahun, menyebabkan pegawai-pegawai kerajaan merayu kepada pengilang untuk menurunkan harga runcit beras, lapor akhbar Bangkok Post.
Indonesia juga mengambil tindakan untuk menangani keperluan berasnya.
Perdana Menteri Thailand, Sretta Thavisin yang juga merangkap Menteri Kewangan berkata, Indonesia merancang untuk membeli dua juta tan beras dari Thailand menjelang akhir tahun depan.
Berikutan pengumuman itu, pengilang-pengilang tempatan menangguhkan jualan dengan menjangkakan harga akan meningkat lebih tinggi.
Presiden Kehormat Persatuan Pengeksport Beras Thai, Chookiat Ophaswongse mengaitkan kenaikan harga beras di negara berkenaan dengan prestasi mata wang Thailand yang semakin kukuh.
Bagaimanapun, Chookiat meramalkan bahawa harga beras kekal tinggi awal tahun depan disebabkan kebimbangan keterjaminan makanan yang berterusan dan larangan eksport beras oleh India.
Kos beras yang semakin meningkat adalah berbeza dengan bijirin ruji lain seperti gandum dan jagung. – AGENSI